Beliau mendakwa, biasanya pendapatan hasil jualannya sekitar RM400 hingga RM500 sehari tetapi sejak kisah hantu yang diviralkan itu, pendapatannya kini merosot separuh.
Pekerja Kedai makan, Shazliana Mamat, 22, mengakui majikannya sering merungut kekurangan hasil jualan dan terpaksa menggunakan wang yang lain untuk membayar gaji pekerja.
"Kita sebagai pekerja turut bersimpati dengan majikan kami dan berharap pelanggan kembali singgah ke sini
"Ada peniaga dapat sekitar RM50 sehari dan ada yang mengambil keputusan menutup perniagaannya dengan lebih awal," katanya.
Beliau berharap cerita berkenaan hantu itu dapat dinoktahkan kerana sepanjang empat tahun berkerja, tidak pernah ada apa perkara yang menakutkan berlaku di situ.
"Majikan dan peniaga lain sangat bimbang berkemungkinan akan gulung tikar sekiranya keadaan itu berlarutan.
"Saya dimaklumkan majikan, dulu sembilan tahun lepas sudah berlaku dakwaan yang sama sehingga R&R ini sepi tanpa pengunjung dan kami sangat bimbang dan berharap supaya cerita hantu ini segera berakhir," katanya.
Sementara itu peniaga, Zarawi Mamat, 53, yang tinggal di Dungun, berkata sepanjang 10 tahun berulang alik ke Kuala Lumpur, R&R Perasing menjadi lokasi persinggahannya.
"Banyak kawasan R&R saya singgah. Tak kira siang atau tengah malam saya akan singgah di sini dan setakat ini tidak pernah saya bertemu atau diganggu makhluk halus.
"Kita tak nafi dengan makhluk halus ini ada tetapi sebaiknya perkara itu tidak diperbesarkan demi untuk kebaikan semua pihak," katanya.
Sebelum ini, seorang pemandu lori berkongsi pengalaman diganggu makhluk halus ketika memandu sendirian menerusi satu video dimuat naik di aplikasi TikTok sehingga meraih 1.6 juta tontonan.
Pemandu itu mendakwa kejadian itu berlaku pada 9 Oktober lalu di sebuah kawasan berhampiran R&R Perasing Kemaman.
Sumber : Berita Harian