Samsung Fold7: Telefon lipat paling canggih

 


Samsung sekali lagi membuktikan keunggulan mereka dalam pasaran telefon lipat menerusi pelancaran model baharu Galaxy Z Fold7. Menyambung legasi siri Fold, model terbaharu ini tampil dengan reka bentuk lebih nipis, ringan dan kukuh, menjadikannya telefon lipat paling canggih pernah dihasilkan oleh syarikat gergasi Korea Selatan itu. Dengan gabungan fungsi telefon pintar dan tablet, peranti ini kini berada di pasaran Malaysia dengan pelbagai penawaran menarik.

Galaxy Z Fold7 secara rasminya diperkenalkan pada 9 Julai 2025 dengan tempoh pra-tempahan dibuka sehingga hujung bulan ini. Jualan runcit akan bermula pada 1 Ogos 2025. Ditawarkan dalam empat warna iaitu Blue Shadow, Silver Shadow, Jetblack dan Mint, model 1TB hanya boleh didapati dalam warna Blue Shadow dan Jetblack, manakala warna Mint eksklusif melalui pembelian dalam talian.

Samsung turut mengadakan pameran khas "Galaxy Unfolds" di Pavilion Kuala Lumpur dari 16 hingga 20 Julai 2025, memberikan peluang kepada pengguna mencuba peranti ini secara langsung. Strategi ini bukan sahaja menonjolkan pengalaman produk, malah mendorong pembelian terus dari laman web rasmi, selari dengan usaha Samsung membina hubungan lebih erat dengan pelanggan.

Seiring dengan kenaikan harga sehingga RM800 berbanding model terdahulu, Samsung menawarkan pelbagai insentif sempena pra-tempahan bernilai sehingga RM1,390. Antaranya, peningkatan storan secara percuma, baucar elektronik, rebat tambahan jika menggunakan kad CIMB, ansuran tanpa faedah, tawaran tukar beli serta diskaun untuk aksesori dan peranti Galaxy lain.

Dari sudut reka bentuk, Z Fold7 menampilkan perubahan drastik. Ketebalan peranti ini kini hanya 8.9mm apabila dilipat dan 4.2mm apabila dibuka, menjadikannya lebih nipis daripada telefon biasa. Beratnya pula hanya 215 gram, lebih ringan berbanding Z Fold6. Struktur luarannya diperbuat daripada Armor Aluminum manakala bahagian belakang dan skrin luar dilapisi kaca tahan lasak Gorilla Glass Victus 2.

Engsel baharu yang lebih kukuh dan kurang ketara memberikan pengalaman lipat yang lebih kemas. Namun, pengurangan ketebalan turut menyebabkan pengorbanan besar: tiada lagi sokongan untuk S Pen. Keputusan ini pasti mengecewakan pengguna produktif, tetapi membuka ruang untuk menarik kelompok pengguna yang lebih menghargai reka bentuk kompak dan mudah dibawa.

Paparan Z Fold7 kekal menakjubkan dengan skrin luar berukuran 6.5 inci dan skrin utama seluas 8.0 inci. Kedua-duanya menyokong kadar segar semula 120Hz dan kecerahan puncak 2600 nits. Dengan paparan AMOLED 2X yang dipertingkatkan, pengguna bakal menikmati pengalaman visual yang terang dan tajam walaupun di bawah cahaya terang.

Satu lagi pembaharuan penting ialah kamera swafoto dalaman yang kini menggunakan reka bentuk 'punch-hole' dengan sensor 10MP, menggantikan kamera bawah paparan 4MP sebelum ini. Walaupun kelihatan sedikit mengganggu pada pandangan pertama, ia memberikan sudut pandang lebih luas dan hasil gambar lebih berkualiti.

Sumber - Berita Harian

Tiada ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Dikuasakan oleh Blogger.