Muhamad Umar berkata, dengan pengenalan akses aset baharu dalam tawaran Bursa Malaysia Derivatives itu memberi peluang kepada peniaga berdagang merentasi pasaran derivatif Hong Kong dan Malaysia.
"Ini akan sangat berguna kepada peserta seperti perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan pemilik perniagaan yang membuat transaksi di China. Ia akan melindung nilai risiko terhadap turun naik dolar Amerika Syarikat (AS) dan RMB luar pesisir," katanya.
Beliau menjelaskan, pengenalan FCNH juga adalah strategik dan sejajar dengan perjanjian pelesenan Bursa Malaysia dengan Dalian Commodity Exchange (DCE) berhubung harga penyelesaian niaga hadapan minyak kacang soya untuk Kontrak Hadapan Minyak Kacang Soya DCE Bursa Malaysia (FSOY) baru-baru ini, dengan produk baharu itu akan disenaraikan di Bursa Malaysia Derivatives pada tahun depan.
"FCNH akan menjadi pelengkap dan berfungsi sebagai alat lindung nilai mata wang kepada peserta pasaran yang berminat dalam dagangan FSOY yang akan didenominasikan dalam dolar AS.
"Pelancaran FCNH adalah tepat pada masanya memandangkan ketidaktentuan semasa dalam pasaran global, yang telah menyebabkan peningkatan permintaan dalam kalangan peserta pasaran dan perniagaan untuk menguruskan pendedahan pertukaran mata wang asing mereka.
"Perjanjian pelesenan kami dengan HKEX untuk FCNH dan kerjasama produk dengan DCE adalah bukti komitmen Bursa Malaysia Derivatives untuk menjalin pakatan strategik dan memperdalam hubungan pasaran global.
"Kami optimis bahawa usaha ini akan membolehkan peserta pasaran mengemudi dengan berkesan kerumitan pasaran antarabangsa dan menguruskan risiko merentas pasaran dengan cekap," katanya.
FCNH ialah kontrak yang menggunakan transaksi tunai dalam denominasi RMB.
Harga penyelesaian akhir merujuk kepada harga penyelesaian akhir mini-USD/CNH HKEX.
Peserta pasaran boleh berdagang FCNH semasa sesi dagangan pagi dan petang (jam 900 pagi hingga 6 petang) waktu Malaysia dari Isnin hingga Jumaat dan sesi dagangan selepas waktu (T+1) (jam 9 pagi hingga hingga 2.30 pagi waktu Malaysia (Isnin hingga Khamis).
Sumber dari Berita Harian