Asid lemak tepu - Menjadi pepejal pada suhu bilik dan biasanya diperolehi daripada sumber haiwan, iaitu daging, susu, produk tenusu dan minyak sapi. Sesetengah makanan daripada sumber
tumbuh-tumbuhan juga mengandungi lemak tepu seperti santan dan minyak kelapa.
Asid lemak tidak tepu - Jenis lemak cair pada suhu bilik. Kebanyakannya boleh didapati dalam makanan sumber tumbuh-tumbuhan seperti minyak sayur-sayuran, kacang, biji benih dan sesetengah ikan laut.
Terdapat dua jenis asid lemak tidak tepu:
Asid lemak mono-tak-tepu: Sumber utama termasuk minyak sawit, minyak zaitun, minyak kanola, gajus, kacang tanah
Asid lemak poli-tak-tepu: Sumber utama termasuk minyak kacang soya, minyak jagung, minyak biji bunga matahari, ikan laut dalam.
Hadkan Pengambilan
Mengikuti cadangan pengambilan lemak harian:
Jumlah pengambilan lemak tidak melebihi 20-30% (45-67g, kira-kira 3 hingga 5 sudu besar minyak) daripada jumlah pengambilan kalori sehari (berdasarkan 2000 kcal).
Minyak masak
Secara amnya, orang yang sihat boleh memasak dengan menggunakan minyak sawit (mengandungi gabungan asid lemak) yang lazim terdapat di pasaran. Anda boleh juga menggunakan campuran 1 bahagian minyak sawit dengan 1 bahagian minyak poli-tak-tepu yang lain.
Jangan gunakan minyak masak yang didapati telah berubah warna kerana komponen-komponen yang merbahaya mungkin terbentuk.