Separuh pekerja sanggup berhenti jika kerjaya tidak berkembang
Satu daripada dua rakyat Malaysia akan berhenti kerja jika tiada peluang kemajuan dalam kerjaya mereka, demikian menurut hasil kaji selidik terkini Randstad Malaysia.
Kajian itu meninjau 517 pekerja tempatan dan pencari kerja mengenai jangkaan kerjaya mereka dan pengalaman merentasi empat tema iaitu motivasi dan cita-cita, fleksibiliti, ekuiti dan pemahaman serta kecerdasan buatan (AI) dan kemahiran.
Data terkini itu juga menunjukkan rakyat Malaysia bimbang ekonomi boleh memberi kesan kepada keterjaminan pekerjaan mereka.
Di sebalik peralihan ekonomi, satu daripada dua rakyat Malaysia bimbang kehilangan pekerjaan, lebih tinggi terutamanya dalam kalangan Gen Z atau mereka yang lahir antara 1997 dan 2012 (59 peratus) dan milenial atau individu yang lahir antara 1981 dan 1996 (57 peratus).
Kajian itu juga menunjukkan 40 peratus peratus responden menyatakan bahawa mereka gembira dengan tempat kerja sekarang dan tidak mahu kemajuan kerjaya, manakala 53 peratus responden pula menyatakan bahawa adalah menjadi tanggungjawab majikan untuk melatih dan meningkatkan kemahiran.
Pengarah Negara Randstad Malaysia, Fahad Naeem, berkata pasaran pekerjaan di Malaysia telah berkembang daripada model pertukaran secara langsung kepada majikan yang dapat memenuhi motivasi dan aspirasi unik bakat individu.
Beliau berkata, syarikat mesti mengutamakan komunikasi yang berkesan untuk memahami keperluan khusus seperti fleksibiliti, kemajuan kerjaya atau peluang latihan.
"Menggunakan pendekatan 'mengutamakan bakat' bagi menangani matlamat pekerja akan membantu sesebuah perniagaan berbeza daripada yang lain dan berjaya dalam dunia pekerjaan yang berdaya saing," katanya dalam satu kenyataan.
Kajian Randstad itu mendapati, 55 peratus rakyat Malaysia berpendapat jika mereka mendapat jawatan yang disukai, mereka akan gembira untuk kekal di dalam jawatan itu walaupun tiada ruang untuk kemajuan kerjaya.
Dua daripada lima responden juga mengatakan bahawa mereka gembira di tempat kerja sekarang dan tidak mahu perkembangan kerjaya.
Sementara itu, kira-kira dua daripada lima rakyat Malaysia telah mengambil atau sedang mengambil pekerjaan kedua untuk membantu menangani peningkatan kos sara hidup dan bimbang terhadap ketidakpastian ekonomi boleh memberi kesan kepada kemajuan kerjaya mereka.
Di Malaysia, 73 peratus pekerja menilai diri mereka sebagai bercita-cita tinggi, 17 peratus melebihi purata global.
Kajian turut mendapati bahawa 12 peratus pekerja tidak pernah mahu mengambil sebarang peranan pengurusan.
Walau bagaimanapun, kajian menunjukkan bahawa tidak mahukan kemajuan kerjaya tidak bermakna pekerja tidak mempunyai minat untuk memperbaiki diri, apabila lebih empat daripada lima responden (81 peratus) berpandangan latihan dan peluang pembangunan penting apabila memikirkan mengenai majikan sekarang dan masa depan mereka.
Lima faktor yang paling penting apabila memikirkan mengenai pekerjaan sekarang atau masa depan ialah imbangan antara kerja dan kehidupan (94 peratus) dan gaji (94 peratus), insurans kesihatan dan faedah penjagaan kesihatan (90 peratus), fleksibiliti waktu bekerja (89 peratus), keterjaminan pekerjaan (88 peratus) dan sokongan kesihatan mental (87 peratus).
Mengulas lanjut, Naeem berkata, walaupun rakyat Malaysia bercita-cita tinggi untuk mendapatkan gaji yang lebih tinggi dan pekerjaan lebih berprestij, mereka mengimbanginya dengan mencari majikan yang boleh menawarkan pengalaman positif.
Pekerja terus mengutamakan kemahiran 'kalis masa depan', terutamanya dalam penggunaan AI yang meluas dengan hampir separuh (47 peratus) responden menyatakan bahawa mereka tidak akan menerima pekerjaan jika ia tidak menawarkan peluang pembelajaran dan pembangunan untuk membuktikan kemahiran pada masa hadapan.
Sumber dari Berita Harian