Keputusan permohonan kemasukan ke IPTA, ILKA lepasan SPM diumum 28 Jun - KPT
Keputusan permohonan melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diumumkan pada 28 Jun ini.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa keputusan bagi pengajian ke universiti awam (UA), politeknik, Kolej Komuniti (KK) dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) peringkat sijil, asasi dan diploma Sesi Akademik 2024/2025 boleh disemak mulai 12 tengah hari pada tarikh berkenaan hingga 5 petang 7 Julai.
"Keputusan boleh disemak secara dalam talian melalui pautan https://jpt.utm.my, https://jpt.uum.edu.my, https://jpt.unimas.my, https://jpt.ums.edu.my dan https://jpt.umt.edu.my, atau melalui aplikasi mudah alih UPUPocket di telefon pintar," menurut kenyataan itu.
Menurut KPT, pengesahan setuju terima tawaran bermula pada 29 Jun hingga 7 Julai ini menerusi laman web IPTA dan ILKA.