Hanya boleh letak nama dalam sijil kelahiran
Anak orang Islam yang dilahirkan di luar ikatan perkahwinan atau tidak sah taraf, tidak boleh di bin atau binti dengan nama bapa biologinya.
Namun nama bapa boleh dimasukkan pada ruangan maklumat yang terdapat dalam sijil kelahiran.
Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Muhamad Hisham Marzuki menjelaskan, perkara itu sudah diputuskan Mahkamah Persekutuan secara majoriti dalam kes Bin Abdullah 2020 berkenaan anak tidak sah taraf meletak nama bapa dan kedudukan berdasarkan Seksyen 13A Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian (APKK) 1957.
“Mahkamah dalam kes itu memutuskan keputusan berdasarkan majoriti 4-3, (bahawa) anak orang Islam yang dilahirkan di luar ikatan perkahwinan atau tidak sah taraf, tidak boleh di bin atau di binti nama bapanya.
“Malah, tindakan Ketua Pengarah JPN (Jabatan Pendaftaran Negara) tidak membenarkan permohonan bapa agar kanak-kanak itu di bin dengan namanya, betul dari segi undang-undang,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Dalam pada itu Muhamad Hisham menjelaskan, Seksyen 13A APKK 1957 tidak terpakai pendaftaran individu berbangsa Melayu dan beragama Islam.
Menurutnya, akta tersebut tidak membenarkan anak untuk dinamakan oleh nama ayah kandung kerana individu berkenaan tidak diiktirafkan sebagai nama keluarga.
“Namun sekiranya mereka mengaku bapa dan ibu dalam sijil lahir anak tidak sah taraf terlibat, kemungkinan sebelum ini ada kesilapan dalam sijil lahir asal. Tetapi nama anak tersebut masih kekal bin atau binti Abdullah bagi anaknya,” jelas beliau.
Oleh demikian, tidak boleh pusaka dan tidak menjadi mahram antara keduanya.
Sumber : Sinar Harian