7 perkara perlu dilakukan sebelum berhenti kerja


Tujuh perkara yang perlu dilakukan sebelum anda berhenti kerja.


1. Fikir semasak-masaknya

Sebelum menghantar surat berhenti kerja, pastikan anda sudah berfikir semasak-masaknya. 

Ada banyak perkara yang perlu diambil kira, salah satunya adalah tahap kewangan diri. 

Jika berhenti bukan dengan tujuan untuk melompat kerja, anda perlu kira segala perbelanjaan wajib seperti sewa rumah, bayaran bulanan kereta, bil yang perlu dilunaskan dan jangan lupa, duit makan setiap bulan.  

Kemudian, buat anggaran berapa bulan anda boleh hidup tanpa gaji. 

Jika anda rasa yakin dengan simpanan sedia ada, tidak salah untuk berhenti kerja. 

Namun, bukankah lebih mudah untuk berhenti sekiranya anda sudah mendapat kerja lain? 

2. Fahami keperluan diri

Selain itu, cari punca sebenar anda ingin berhenti kerja. 

Adakah anda rasa tertekan kerana kerja yang terlalu banyak atau politik pejabat yang merimaskan? 

Jika anda mempunyai sebab tertentu, pastikan anda cari kerja baharu yang tidak akan menyebabkan anda alami bebanan kerja yang melampau. 

Dalam pada itu, fahami juga apa keperluan anda ketika mencari kerja baharu. Adakah anda lebih suka kerja dari rumah atau secara hibrid? Bagaimana pula dengan lokasi? 

Adakah kerja baharu boleh mendatangkan kepuasan kerja kepada anda? Adakah anda ingin naik gaji atau cuba sesuatu yang lebih mencabar? 

Dengan mengenal pasti keperluan diri, anda dapat membuat perancangan yang sejajar dengan kemajuan kerjaya. 

Jika anda risau mengenai budaya tempat kerja baharu, anda boleh gunakan laman sesawang seperti Glassdoor untuk melihat cara kerja satu-satu syarikat. 

Selain itu, anda juga boleh berhubung dengan pekerja sedia ada melalui LinkedIn untuk bertanya lebih lanjut mengenai budaya syarikat tertentu.

3. Timbang baik buruk

Ada banyak sebab untuk berhenti kerja. Namun, ada banyak sebab juga untuk kekal dengan kerja sedia ada. 

Dalam ekonomi sekarang, bukan mudah untuk mencari kerja baharu. 

Individu yang berhenti tanpa sebarang perancangan mungkin perlu menganggur selama beberapa bulan sebelum berjaya mendapatkan kerja baharu. 

Jangan lupa, keterdesakan hanya akan buatkan ramai orang melakukan keputusan yang salah. 

Berapa ramai yang akhirnya akan merayu kepada majikan lama untuk mengambil mereka kembali bekerja kerana tidak puas hati dengan cara kerja syarikat baharu? 

Jadi, sebelum berhenti, timbang dahulu baik buruknya. Kita tidak tahu apa yang menanti di tempat kerja baharu.

4. Buat perancangan

Jika anda ingin berhenti kerja, buat perancangan mengenai aktiviti ketika menganggur. 

Mungkin anda boleh melakukan kerja separuh masa atau pergi bercuti untuk tenangkan diri. Dalam masa yang sama, anda boleh cari kerja baharu yang lebih sesuai.

Menurut laman sesawang Calm, mereka yang menganggur lebih berisiko untuk mengalami depresi. Manakan tidak, terlalu banyak masa terluang menyebabkan ramai rasa gelisah. 

Pencarian kerja yang sukar juga boleh membuatkan segelintir rasa putus asa. 

Oleh itu, pastikan anda ada strategi menjaga kesihatan fizikal dan mental selepas berhenti.

5. Catat segala kejayaan anda 

Sebelum berhenti kerja, catat segala kejayaan anda.

Jika boleh, pastikan anda mempunyai hitam putih yang membuktikan pencapaian anda di syarikat sebelum ini. 

Kejayaan tersebut boleh diletakkan dalam resume. Mana tahu, andalah calon yang dicari-cari syarikat tertentu.

6. Minta rekomendasi daripada orang atasan 



Dalam sesetengah industri, surat pengesyoran (recommendation letter) boleh membantu anda mendapatkan kerja baharu dengan lebih mudah. 

Oleh itu, sebelum berhenti, pastikan anda minta surat tersebut daripada bos atau rakan sekerja. Jika anda merupakan pekerja yang rajin dan komited, mereka pasti akan membantu.

7. Berhenti kerja secara baik

Jika anda benar-benar ingin berhenti kerja, berhentilah secara baik. 

Ikut prosedur yang ditetapkan oleh syarikat. Beri notis berhenti mengikut keperluan syarikat. 

Dalam masa yang sama, anda juga boleh mempermudah proses dengan mencari pekerja lain sebagai ganti atau mengajar orang lain yang bakal menggantikan tempat anda. 

Semua itu dapat membuatkan anda lebih tenang dalam perjalanan mencari kerja baharu. 


– RELEVAN



Tiada ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Dikuasakan oleh Blogger.