Doa ibu paling mustajab ketika diuji - Fattah Amin
Pelakon Fattah Amin mengakui doa ibu adalah yang terbaik dan mustajab saat berdepan ujian.
Menerusi sesi podcast santai Bersama Umie Aida di Tik Tok, pelakon filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah itu berkata, dia sukar berkongsi masalah dengan sesiapa termasuk ibu bapa.
Akibat terlalu buntu, pelakon berusia 34 itu berkata, dia akhirnya meminta doa ibunya.
"Saya sukar berkongsi masalah dengan orang. Sampailah satu tahap, saya rasa sudah buntu.
"Doa, solat semua sudah, akhirnya saya pilih minta doa ibu. Sebelum ini, saya ada cakap dengan ibu mengenai masalah dihadapi, tetapi kali ini, saya minta ibu mendoakan dengan lebih spesifik.
"Saya cakap kepada ibu, tolong doakan Along. Subhanallah, hebatnya berkat doa ibu,," katanya.
Fattah berkata demikian ketika ditanya Umie Aida mengenai pandangannya terhadap sikap sesetengah generasi muda yang tidak menganggap ibu bapa sebagai sosok penting dalam kehidupan.
Katanya, ada sesetengah orang yang lebih suka berkongsi masalah dengan rakan-rakan, tetapi perkongsian dengan ibu bapa adalah terbaik.
"Semua orang mengalami kesusahan dalam hidup, tetapi tak semua mengambil jalan berjumpa dengan ibu bapa, minta doa dan keberkatan. Ini kerana sesetengah mereka selesa bercerita masalah dengan kawan-kawan.
"Tapi, doa terbaik adalah ibu. Jadi, saya nasihatkan hargailah ibu bapa yang berada depan mata sebaik-baiknya.
"Kadang-kadang kita sebagai anak terfikir, semua orang mengalami kesusahan dalam hidup, tapi mungkin tak semua mengambil jalan dengan pergi kepada ibu bapa minta doa. Tak semua orang buat seperti ini, sedangkan doa ibu bapa adalah solsi yang terbaik," katanya.
Tiada ulasan
Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.