167,300 siswazah menganggur pada 2023

 


Kadar pengangguran siswazah turun sebanyak 0.3 mata peratus kepada 3.4 peratus pada 2023, berbanding 3.7 peratus tahun sebelumnya.

Sehubungan itu, bilangan siswazah yang menganggur turun 4.3 peratus kepada 167,300 pada 2023 daripada 174,800 orang pada tahun 2022.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata berdasarkan analisis lanjut mengikut pensijilan menunjukkan bilangan siswazah Ijazah yang menganggur turun sebanyak 4.6 peratus kepada 91,600 orang (2022: 96,000 orang), manakala bilangan siswazah Diploma yang menganggur turut mencatatkan penurunan sebanyak 3.8 peratus kepada 75,800 orang (2022: 78,800 orang).

Situasi yang optimistik ditunjukkan oleh penganggur aktif siswazah yang memperoleh pekerjaan dalam tempoh tiga bulan pertama dengan pertumbuhan positif sebanyak 16.0 peratus dalam tempoh pengangguran kurang daripada tiga bulan.

"Sebaliknya, terdapat 14.3 peratus siswazah berada di luar tenaga buruh pada 2023 yang antaranya disebabkan oleh kerja rumah / tanggungjawab keluarga (34.5 peratus), diikuti oleh masih belajar / program latihan (30.6 latihan)," katanya dalam kenyataan.

Gaji siswazah naik pada 2023

Mengulas berkaitan gaji dan upah yang diterima oleh siswazah, Mohd Uzir berkata, gaji dan upah yang lebih tinggi direkodkan untuk siswazah pada tahun 2023 berbanding tahun sebelumnya.

Katanya, penengah gaji dan upah bulanan dalam pekerjaan utama sepenuh masa mereka meningkat sebanyak 3.4 peratus kepada RM4,409 (2022: RM4,265).

"Ketiga-tiga tahap kemahiran pekerjaan menunjukkan peningkatan penengah gaji dan upah yang positif.

"Penengah gaji dan upah bulanan bagi siswazah dalam kategori pekerjaan mahir meningkat 3.6 peratus mencecah RM5,663 (2022: RM5,467).

"Penengah gaji dan upah bagi kategori separuh mahir meningkat 4.3 peratus kepada RM2,375 (2022: RM2,276).

"Sementara kategori berkemahiran rendah mencatat peningkatan penengah gaji dan upah sebanyak 1.9 peratus pada RM1,915 (2022: RM1,880)," katanya.

Mohd Uzir berkata, semua negeri mencatatkan pertumbuhan positif dalam penengah dan purata gaji dan upah bulanan siswazah pada tahun 2023 berbanding 2022.

"Tiga negeri dengan penengah gaji dan upah siswazah tertinggi adalah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak RM5,694, mencatatkan pertumbuhan 8.0 peratus tahun ke tahun, diikuti oleh Wilayah Persekutuan Putrajaya (RM4,963) dengan kenaikan 4.4 peratus dan Selangor (RM4,792) dengan pertumbuhan 1.2 peratus.

"Bagi purata gaji dan upah bulanan siswazah tertinggi, Putrajaya mendahului pada RM6,084, diikuti Kuala Lumpur (RM5,779) dan Selangor (RM5,356), masing-masing mencatatkan pertumbuhan 7.1 peratus, 4.0 peratus, dan 4.7 peratus tahun ke tahun," katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata negeri-negeri berkenaan berperanan sebagai pusat ekonomi dan pentadbiran utama menawarkan tumpuan pekerjaan dengan gaji tinggi, terutama di kawasan bandar yang mendorong pertumbuhan gaji yang kukuh dan menjadi tumpuan siswazah berkemahiran.

Dalam menyimpulkan penemuan statistik siswazah pada tahun 2023, beliau berkata, di sebalik ketidaktentuan ekonomi global pada masa kini, pasaran buruh Malaysia terus mengekalkan daya tahan yang tinggi pada 2023, disokong oleh pelaksanaan berterusan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Katanya, RMK12 memberi tumpuan kepada pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi demi memacu pertumbuhan ekonomi negara.

"Berdasarkan Belanjawan 2024, kerajaan terus menyokong kebajikan pelajar melalui pembiayaan yuran universiti yang berpatutan dan pelaksanaan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan kebolehpasaran siswazah.

"Menuju ke hadapan, usaha untuk menyelaraskan pendidikan dengan permintaan pasaran kerja, dan pengintergrasian alat pembelajaran berasaskan kecerdasan buatan (AI) akan memastikan siswazah di masa hadapan bersedia untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan inovasi Malaysia yang mampan," katanya.

Sumber : Berita Harian

Tiada ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Dikuasakan oleh Blogger.