Punca dan Cara Mengatasi Bantut
BANTUT atau keterlambatan pertumbuhan adalah masalah yang sering berlaku dalam kalangan kanak-kanak.
Bantut berlaku apabila kanak-kanak mengalami pertumbuhan fizikal yang lebih perlahan berbanding dengan usia mereka.
Ini adalah salah satu tanda perkembangan fizikal yang terganggu. Walau bagaimanapun, masalah bantut ini bukan pada zaman kanak-kanak sahaja, malah ia satu kondisi yang kekal sepanjang hayat.
Terdapat pelbagai faktor yang boleh menyebabkan masalah bantut ini, antaranya faktor genetik, pemakanan tidak seimbang, masalah kesihatan, serta faktor persekitaran.
Antara punca utama bantut adalah faktor pemakanan yang tidak mencukupi. Kanak-kanak yang tidak mendapat zat makanan mencukupi, terutama sekali protein, vitamin, dan mineral, berisiko tinggi mengalami masalah pertumbuhan.
Pemakanan tidak sihat seperti terlalu banyak mengambil makanan yang mengandungi gula dan lemak juga boleh menjejaskan proses pertumbuhan tubuh.
Selain itu, kekurangan kalsium dan vitamin D yang penting untuk perkembangan tulang juga boleh menyebabkan pertumbuhan fizikal yang terhambat.
Faktor kesihatan juga punca utama bantut. Penyakit kronik seperti jangkitan bakteria atau virus, masalah hormon, dan gangguan pada organ tertentu seperti buah pinggang atau jantung boleh mempengaruhi proses pertumbuhan tubuh.
Gangguan hormon, seperti kekurangan hormon pertumbuhan atau masalah pada tiroid, boleh menyebabkan kanak-kanak gagal mencapai ketinggian dan berat badan yang sepatutnya mengikut usia mereka.
Selain itu, faktor genetik turut memainkan peranan penting dalam menentukan ketinggian seseorang.
Jika kedua-dua ibu bapa memiliki ketinggian yang rendah, ada kemungkinan besar anak mereka juga akan mengalami masalah pertumbuhan.
Walau bagaimanapun, faktor genetik ini tidak boleh dijadikan alasan utama, kerana faktor persekitaran juga memberi impak besar terhadap perkembangan anak.
Persekitaran sosial dan emosi juga boleh mempengaruhi pertumbuhan seseorang. Kanak- kanak yang hidup dalam keadaan penuh tekanan, seperti masalah dalam keluarga, atau kekurangan perhatian dan kasih sayang, mungkin menghadapi masalah pertumbuhan yang lambat.
Tekanan psikologi boleh menjejaskan keseimbangan hormon tubuh yang akhirnya mempengaruhi proses pertumbuhan.
Cara mengatasi masalah tumbesaran
- Memberikan anak susu ibu sekurang-kurangnya selama enam bulan.
- Memberikan pemakanan yang seimbang.
- Mengamalkan gaya hidup sihat.
- Memastikan tidur yang cukup.
- Perawatan perubatan dan pemeriksaan secara berkala.
- Menangani masalah psikologi dan emosi.
- Sokongan sosial dan persekitaran yang sihat.
Kesimpulannya, masalah bantut boleh disebabkan oleh pelbagai faktor yang saling berkaitan, termasuk pemakann tidak seimbang, faktor genetik, masalah kesihatan, serta persekitaran yang kurang menyokong.
Oleh itu, adalah penting untuk memberi perhatian kepada faktor ini dan memastikan kanak-kanak mendapat pemakanan yang baik, perhatian perubatan tepat, serta persekitaran sihat untuk memastikan mereka berkembang dengan optimum.
Sumber : BERITA HARIAN
Tiada ulasan
Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.