Bank Islam lancar kad debit patuh syariah

 


Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB), dengan kerjasama Mastercard, melancarkan Kad Debit Bank Islam Mastercard Debit Card-i yang mematuhi prinsip Syariah, selari dengan komitmen bank dalam memperkukuh kedudukannya dalam perbankan Islam.

Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan Bank Islam, Mizan Masram, berkata produk baharu itu bukan sekadar menyediakan kemudahan transaksi global yang lancar, malah menekankan aspek perbankan beretika dan bertanggungjawab secara sosial.

"Kad ini bukan sahaja membolehkan pelanggan melakukan transaksi di lebih 100 juta peniaga di seluruh dunia, malah setiap kad yang dikeluarkan akan menyumbang RM2 kepada Sadaqa House, inisiatif kewangan sosial Bank Islam yang menyokong program zakat dan wakaf.

"Dengan pelbagai tawaran dan kempen strategik yang dirancang, kami menyasarkan pertumbuhan dua digit pada 2025, dengan jangkaan peningkatan sekurang-kurangnya 10 peratus dalam portfolio kewangan menjelang akhir tahun," katanya pada majlis pelancaran kad itu.

Sempena pelancaran ini, Bank Islam turut memperkenalkan beberapa kempen promosi untuk menggalakkan penggunaan kad berkenaan.

Antaranya, Kempen Pulangan Tunai Mastercard Debit Card-i yang berlangsung dari 13 Februari hingga 31 Ogos 2025, menawarkan pulangan tunai sebanyak satu peratus bagi transaksi di peniaga terpilih.

Selain itu, satu acara promosi khas diadakan di MyTOWN Shopping Centre dari 13 hingga 16 Februari, di mana pelanggan baharu yang membuka akaun dengan deposit minimum RM1,000 dalam dana baharu akan menerima hadiah premium eksklusif.

Bank Islam juga memberi ganjaran kepada pelanggan melalui Akaun Pelaburan Al-Awfar, yang telah melahirkan 46 jutawan sejak diperkenalkan.

"Dengan lebih RM18 juta hadiah ditawarkan, pelanggan berpeluang memenangi ganjaran menerusi cabutan bulanan, suku tahunan, separuh tahunan dan tahunan," kata Mizan.

Sementara itu, Pengurus Negara Mastercard Malaysia dan Brunei, Beena Pothen, berkata pelancaran kad ini mencerminkan usaha bersama Mastercard dan Bank Islam dalam menyediakan penyelesaian pembayaran yang selaras dengan nilai dan keperluan pengguna Muslim.

"Ia bukan sekadar satu inovasi perbankan, tetapi juga satu langkah ke hadapan dalam menyokong ekosistem kewangan Islam yang lebih mampan dan inklusif," katanya.


Tiada ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Dikuasakan oleh Blogger.