"Sebenarnya sebagai ibu bapa tidak kiralah sama ada kita ada anak OKU atau anak yang sempurna kita hanya mahu yang terbaik untuk masa depan mereka," katanya selepas menerima replika cek RM1 juta yang disampaikan Pengarah Negeri BSN Pulau Pinang, Amir Hamzah di sini, semalam.
Hamdan berkata, anak keenam daripada tujuh beradik itu tidak bertutur selain perlu dibantu menguruskan diri dan masih dihantar ke sekolah khas yang tidak menetapkan had umur bagi memenuhi keperluan sosial dan pendidikan insan OKU sepertinya.
Justeru, dia sangat terkejut dan sukar mempercayai apabila menerima panggilan telefon pada 1 Mac lalu memaklumkan keputusan cabutan itu sehingga perlu diyakinkan berkali-kali pegawai BSN dan setelah melihat sendiri nama anaknya terpampang pada laman web rasmi dan media sosial BSN barulah dirinya yakin pegawai yang menghubunginya bukan 'scammer'.
Hamdan berkata dia terutamanya isteri bersyukur dikurniakan anak seperti Amirul dalam meniti usia emas mereka memandangkan anak-anaknya yang lain kebanyakannya sudah berkeluarga dan tinggal di luar Pulau Pinang selain mempunyai tanggungjawab terhadap kerjaya masing-masing.
"Saya rasa, apabila kita ada anak istimewa, kita beri perhatian, kasih sayang dan jangan sisihkan dia. Contohnya anak istimewa kami suka dibawa keluar berjalan-jalan jadi kita usaha bagi dia persekitaran dan tempat yang elok. Kita jaga amanah ini baik-baik.
"Memang mencabar mengurus anak OKU (orang kelainan upaya) terutama kepada emaknya yang sudah banyak berkorban kalau tidak kena gaya dia boleh mengamuk pukul atau cubit orang juga. Jadi perlu banyak bersabar, berdoa, sentiasa bertoleransi dan belajar memahami keperluan mereka.
"Amirul ini seperti berada dalam dunianya sendiri. Dia suka tengok buku-buku bergambar. Lagi tebal, lagi dia suka. Dia juga suka barangan penjagaan diri yang berbau wangi macam syampu kalau bawa ke pasar raya, rak barangan itulah tempat yang dituju," katanya yang juga seorang datuk kepada 18 cucu.
SUmber : Berita Harian