Honda Malaysia lancar kereta elektrik pertama, e:N1 berharga RM149,900

 


Honda Malaysia melancarkan secara rasmi model kenderaan elektrik berkuasa bateri (BEV) pertamanya, Honda e:N1 pada harga RM149,900.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Narushi Yazaki, berkata kumpulan sentiasa berada di barisan hadapan dalam inovasi, membawa teknologi terkini kepada pengguna di Malaysia.

Beliau berkata, perjalanan ini bermula dengan IMA pada 2004, diikuti VTEC Turbo pada 2016, i-DCD pada 2017 dan teknologi e:HEV pada 2020.

Katanya, bersandarkan asas itu, Honda Malaysia berada di landasan yang betul dalam mengemudi pasaran dengan model enjin pembakaran dalaman (ICE) dan e:HEV yang masih relevan hari ini.

"Pada masa yang sama, kami komited untuk menawarkan barisan produk yang pelbagai, sesuai dengan keperluan pelanggan yang sentiasa berubah. Memberikan pengalaman 'Fun-To-Drive' adalah teras kepada semua pembangunan teknologi kami dan BEV baharu ini pasti akan meneruskan tradisi itu.

"Sejak pratempahan dibuka pada bulan lalu, kami menerima hampir 200 unit tempahan," katanya selepas majlis pelancaran Honda e:N1 di Kuala Lumpur

Yazaki berkata, pelancaran BEV bukan sekadar mencetuskan keterujaan tetapi satu langkah penting yang membawa Honda Malaysia lebih jauh dalam perjalanan menuju era elektrifikasi.

Beliau berkata, e:N1 mengukuhkan lagi barisan xEV Honda dan menyediakan lebih banyak pilihan mobiliti kepada rakyat Malaysia, selari dengan halatuju perniagaan kumpulan pada 2025.

Malah, katanya, pengenalan model BEV itu juga bakal menjadi tarikan baharu dan menjadikan sasaran Honda Malaysia mencapai sasaran jualan semua model sebanyak 83,000 unit pada tahun ini dapat dicapai.

"Ketika ini juga kami berbangga kerana dalam tempoh empat bulan pertama 2025, sebanyak 24,000 unit model Honda sudah terjual," katanya.



Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Honda Malaysia, Ir Sarly Adle Sarkum, berkata model e:N1 ketika ini adalah model diimport sepenuhnya (CBU) dengan hanya beberapa ratus unit yang dibawa masuk.

Beliau berkata, harga jualan ketika ini juga adalah berdasarkan pengecualian cukai import dan eksais oleh kerajaan dengan model CBU dikecualikan sepenuhnya daripada cukai import dan eksais sehingga 31 Disember 2025.

Katanya, harga jualan itu adalah tertakluk kepada 'siapa cepat dia dapat' dan sehingga stok habis sepenuhnya.

Menurutnya, ketika ini Honda Malaysia masih belum mempunyai perancangan untuk pemasangan tempatan (CKD) bagi model EV di Malaysia.

"Perancangan model CKD bergantung kepada perkembangan pasaran EV dan insentif kerajaan untuk EV. Kami merasakan insentif EV patut diteruskan oleh kerajaan dalam tempoh beberapa tahun akan datang," katanya.

Model e:N1 adalah gabungan sempurna antara fungsi dan bentuk, menawarkan pakej seimbang yang menggabungkan teknologi, prestasi dan reka bentuk dengan memperkenalkan pengalaman pemanduan elektrik Honda berasaskan falsafah berpusatkan manusia, dengan dinamik pemanduan menyeronokkan serta pecutan lancar dan responsif.

Ia dikuasakan oleh bateri lithium-ion 68.8kWh yang menjana kuasa maksimum 150kW dan tork puncak 310Nm.

Untuk pengecasan, ia menyokong AC (pengecasan biasa) sehingga 10kW, dengan 10 peratus ke 80 peratus caj dalam masa hanya enam jam dan menyokong DC (pengecasan pantas) sehingga 78kW, membolehkan caj daripada 30 peratus ke 80 peratus sekitar 50 minit.

Dengan jarak pemanduan sehingga 500 kilometer, pelanggan boleh menikmati pemanduan menyeronokkan melalui tiga mod iaitu Sport, Normal dan ECON.

e:N1 turut disertakan dengan jaminan selama lapan tahun atau 160,000 kilometer (yang mana dahulu) bagi bateri dan sistem pacuan elektrik kenderaan.

Sumber : Berita Harian



Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url