Hospital Kemaman baharu
HOSPITAL KEMAMAN di Kijal yang lebih moden dalam pembinaan.
Sepatutnya sudah lama Kemaman mendapat hospital baru. Hospital Kemaman lama hanya bersaiz Klinik Kesihatan yang sudah tidak sesuai dengan zaman sekarang. Kebanyakan pesakit kritikal di Kemaman mendapat rawatan di Kuantan, Pahang.
Hospital Kemaman yang baharu mempunyai 15 kepakaran akan menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada hampir 450,000 penduduk sekitar daerah Kemaman.
Ia dilengkapi dengan Kompleks Klinik Pakar, Kompleks Rawatan Harian, Dewan Bedah, Unit Rawatan Rapi (ICU), Cardiac Care Unit (CCU) dan serta pelbagai peralatan perubatan yang canggih dan terkini. Apabila hospital tersebut mula beroperasi kelak, hospital sedia ada (lama) ini akan dijadikan Hospital Wanita & Kanak-Kanak Kemaman.
Memori
Kami ada pengalaman dengan Hospital Kemanan semasa anakanda Umar dihantar menaiki ambulans dari Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu ke Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur pada tengah malam dia dilahirkan tahun 2013.
Ambulans yang kami naiki singgah di Hospital Kemaman untuk menukar tangki oksigen pada jam 4.00 pagi. Ini kerana untuk perjalanan dari Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur perlukan empat tangki oksigen. Sebuah ambulans hanya boleh membawa dua tangki oksigen sahaja pada satu-satu masa.
Terima kasih Hospital Kemaman Idamang.
Foto : Azmi Dihati