Punca tidak dipanggil ke temuduga kerja
Resume tidak disesuaikan untuk jawatan yang dimohon
Resume bukan sekadar senarai sejarah pekerjaan. Ia adalah alat pemasaran diri yang perlu disesuaikan mengikut keperluan majikan. Ramai calon gagal kerana menghantar resume yang terlalu umum, tidak berfokus, tiada kaitan dengan jawatan dan langsung tidak menunjukkan pemahaman terhadap peranan yang dipohon.
Contohnya, jika anda memohon sebagai Eksekutif Media Sosial tetapi resume anda banyak memfokuskan pengalaman jualan atau khidmat pelanggan tanpa sebarang butiran berkaitan pengurusan kandungan, algoritma atau strategi pemasaran digital, majikan tidak akan melihat anda sebagai calon yang sesuai.
Apa yang anda boleh buat ialah kenal pasti kata kunci dalam iklan kerja dan pastikan resume anda mengandungi istilah-istilah tersebut. Tunjukkan pencapaian sebenar yang relevan seperti “meningkatkan kadar interaksi media sosial sebanyak 45 peratus dalam tiga bulan”.
Masih ramai yang menganggap surat iringan sebagai formaliti semata-mata atau lebih buruk, tidak menghantarnya langsung. Ini satu kerugian besar. Surat iringan ialah ruang menyatakan niat dan semangat anda untuk bekerja dengan syarikat tersebut.
Majikan bukan sekadar mahu lihat kemampuan calon tetapi kenapa anda berminat dengan jawatan dan syarikat itu. Tanpa surat iringan yang tersusun dan jujur, anda mungkin kelihatan tidak berminat atau sekadar mencuba nasib.
Tuliskan surat iringan yang ringkas (1 halaman) dengan menyatakan latar belakang, mengapa berminat dengan jawatan dan syarikat itu serta bagaimana anda boleh menyumbang kepada majikan. Gunakan nada profesional tetapi elakkan terlalu kaku.
Zaman sekarang, majikan tidak hanya bergantung pada resume. Mereka akan mencari anda di Google, semak LinkedIn malah Instagram atau TikTok.
Jika mereka jumpa sesuatu yang meragukan seperti kutukan tentang kerja terdahulu atau cara berinteraksi terlalu kasar, perkara-perkara tersebut juga boleh membuatkan mereka kurang berminat untuk mengambil anda bekerja.
Apa yang dikongsi secara terbuka memberi gambaran tentang personaliti anda. Majikan mahukan individu yang bukan sahaja berkemahiran tetapi juga boleh dipercayai dan menjaga nama baik syarikat.
Tiada penjenamaan peribadi (personal branding) yang meyakinkan
Penjenamaan peribadi bukan untuk selebriti sahaja. Dalam dunia kerjaya, ia bermaksud cara anda mempersembahkan nilai diri secara konsisten sama ada melalui resume, profil LinkedIn, portfolio atau gaya komunikasi.
Ramai calon mempunyai pengalaman bekerja yang cemerlang tetapi gagal menampilkan imej profesional. Ada juga yang menggunakan alamat emel tidak profesional atau profil LinkedIn terlalu kosong dan tidak dikemaskini sejak bertahun-tahun.Anda dinasihatkan untuk menggunakan satu nama profesional di semua platform. Tuliskan bio yang jelas dan mempunyai impak.
Sertakan pautan ke projek, penulisan, pencapaian atau testimoni jika ada. Bina naratif yang jelas tentang siapa anda dan apa nilai yang boleh ditawarkan.
Tahap pengalaman tidak selari dengan keperluan jawatan
Kadang-kadang, bukan kerana calon tidak bagus tetapi kerana pengalaman anda terlalu banyak atau terlalu sedikit.
Majikan mungkin takut anda cepat bosan atau akan minta gaji tinggi jika terlebih layak. Sebaliknya, jika terlalu kurang pengalaman dan tiada bukti minat atau usaha untuk belajar, anda juga akan diketepikan.
Sebaliknya, jika kurang pengalaman, tekankan semangat belajar, kesediaan menerima cabaran dan nyatakan apa-apa projek, latihan atau kerja sukarela yang relevan.
Sumber : RELEVAN