Lebih 19,000 guru bersara awal sejak 2022, kebanyakan hilang minat
Kementerian Pendidikan (KPM) merekodkan 19,179 guru sekolah menengah dan rendah memilih bersara awal sejak 2022 hingga Mei tahun ini, kebanyakannya memberi alasan tidak lagi berminat sebagai pendidik.
Berdasarkan data, seramai 5,306 guru bersara awal pada 2022, manakala 2023 seramai 6,394 orang, 5,082 (2024) dan 2,397 (Mei 2025).
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, berkata sebanyak 67.44 peratus guru memberikan alasan tidak lagi berminat.
Katanya, 17.43 peratus lagi memberikan alasan masalah keluarga, 7.69 peratus mengalami masalah kesihatan, 5.3 peratus berpunca beban kerja dan 2.08 peratus lagi masalah peribadi.
"KPM sentiasa komited dalam menangani isu kekurangan tenaga pengajar di samping memastikan kesejahteraan guru terus terpelihara.
"Justeru, KPM melaksanakan pengambilan guru tetap sebanyak dua kali setahun, manakala Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) membuka sistem permohonan guru sepanjang tahun bagi mempercepat pengambilan dan penempatan guru," katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN - Masjid Tanah) mengenai berapa ramai guru memilih untuk bersara awal bagi 2022 hingga 2024 dan langkah KPM menangani isu kekurangan guru.
Mengulas lanjut, Kah Woh berkata, antara langkah dilaksanakan KPM bagi menangani isu kekurangan guru dengan membuat penambahbaikan ke atas fungsi pengurusan di sekolah melalui pewujudan Modul Tadbir Urus Sekolah (MySG) sejak 2021
Selain itu, katanya, KPM membangunkan dokumen Deskripsi Tugas (JD) sejak 2016, yang menjelaskan akauntabiliti tugas secara spesifik serta dapat membantu guru dalam melaksanakan tugas dengan lebih efektif.
Tambah beliau, KPM turut melantik pengawas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam kalangan bukan guru bagi mengurangkan beban golongan pendidik di sekolah.
Bagaimanapun, beliau berkata sasaran 20 peratus untuk melantik pengawas peperiksaan dalam kalangan bukan guru belum tercapai.
"Kita pada 2023 mempunyai petugas sukarelawan seramai 7,211 orang. Pada 2024 pula merekodkan 2,780 petugas sukarelawan," katanya.
Pada tahun ini, beliau berkata KPM mengambil satu pembaharuan dengan melantik pembantu guru MySTEP untuk mengurangkan beban guru dalam urusan pentadbiran.
Katanya mereka ditempatkan di sekolah yang mempunyai seramai 1,500 murid ke atas, termasuk di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pendidikan Khas.
"Pembantu guru ini sudah tentu dapat membantu untuk mengurangkan kerja bukan instruksional atau bukan pentadbiran guru.
"Setakat ini, 282 sekolah telah mendapat manfaat. Setiap sekolah dapat dua orang pembantu guru bertaraf MySTEP sejumlah 564 orang.
"Ini adalah program atau pembaharuan yang akan diperluaskan ke sekolah-sekolah lain dalam masa terdekat," katanya.
Sumber Berita Harian