Gagal adaptasi sistem digital antara punca guru bersara awal
Tidak dapat mengadaptasi keperluan pendidikan semasa termasuk sistem pendigitalan pendidikan adalah antara sebab guru bersara awal.
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Guru-Guru dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (KONGRES), Mohd Azizee Hasan, ketika mendedahkan perkara itu berkata, ada guru yang bersara awal menyatakan sukar mengadaptasi era digital menyebabkan ia menjadi tekanan dan beban kerja.
"Ini membawa kepada isu kesihatan mental yang menyebabkan guru memilih bersara awal," katanya kepada BH.
Beliau mengulas laporan yang menyatakan sebanyak 6,394 pegawai perkhidmatan pendidikan atau 1.49 peratus daripada jumlah keseluruhan pengisian guru diluluskan untuk bersara pilihan tahun lalu.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, berkata jumlah itu menunjukkan sedikit peningkatan berbanding tahun sebelumnya iaitu 5,306 atau 1.23 peratus daripada jumlah keseluruhan pengisian guru.
Mohd Azizee menjelaskan punca lain yang menyebabkan guru bersara awal adalah faktor kesihatan, isu jarak pekerjaan suami isteri (penempatan) atau isu guru duka-lara, peluang kerjaya lain dan bebanan kerja baharu selain tugas hakiki mengajar.
Beliau yang juga Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Agama Malaysia Barat (KKGAMB) berkata, isu guru bersara awal tidak boleh dipandang ringan walaupun nisbah yang bersara awal dengan keseluruhan guru masih kecil dan masalah itu bukan isu yang kritikal.
Katanya, Kementerian Pendidikan (KPM) masih perlu menangani isu itu kerana negara dikhuatiri akan hilang kepakaran guru, terutama jika membabitkan subjek utama dan kritikal.
"KPM juga berhadapan masalah kekurangan guru di sekolah-sekolah apabila ada yang bersara awal," katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan KPM mengenal pasti punca guru memilih bersara awal dan membuat langkah intervensi.
Selain itu, katanya, KPM perlu membuat unjuran keperluan guru mengikut sekolah dan lokasi selain menangani isu beban tugas guru.
Katanya, pada masa sama, KPM perlu memberikan pendidikan kesihatan mental kepada warga guru dan menyelesaikan isu guru duka-lara.
Sumber : Berita Harian