Skim Pinjaman Kereta Graduan baharu
Sebenarnya, ia terpulang kepada sama ada kereta itu menjadi keperluan atau tidak. Apabila graduan sudah mula bekerja, pasti ada yang buntu memikirkan kenderaan untuk perjalanan ulang-alik ke tempat kerja.
Kalau tempat kediaman berdekatan dengan pengangkutan awam, mungkin anda masih belum memerlukan kereta. Atau bagi yang menetap bersama keluarga, ada yang boleh menghantar dan menjemput. Bagi kedua-dua situasi ini, anda masih belum memerlukan kereta sendiri.
Tetapi, sekiranya rumah jauh dari pengangkutan awam dan tidak ada orang yang boleh menghantar dan menjemput, maka anda memerlukan kereta sendiri. Mahu bergantung dengan e-hailing pula akan memakan kos yang tinggi.
Jangan risau, tahukah anda terdapat Skim Graduan yang disediakan oleh beberapa bank tempatan yang boleh membantu pelajar lepasan universiti untuk memiliki kenderaan?
Relevan menghuraikan tip untuk memiliki kereta pertama bagi graduan baharu bersama Pegawai Sokongan Jualan di Bank Islam, Nurul Hazira Azman.
Skim graduan ini ditubuhkan untuk memberi peluang kepada graduan baharu memiliki kereta pertama. Bezanya, pinjaman biasa dengan skim ini ialah pemohon tidak perlu mempunyai apa-apa komitmen.
Apakah syarat untuk memohon di bawah skim graduan baharu?
Setiap bank mempunyai syarat-syarat yang berbeza. Tetapi secara umumnya, jika anda berumur 20 hingga 30 tahun dan bekerja kurang daripada setahun, anda sudah layak memohon skim graduan.
Anda perlu sekurang-kurangnya tamat pelajar pada peringkat diploma atau ijazah (bergantung kepada syarat setiap bank) daripada pusat pengajian tinggi tempatan dan luar negara yang diperakui.
Pastikan anda sudah tamat pengajian dengan rasmi supaya fakulti atau pihak universiti boleh mengeluarkan surat tamat pengajian.
Syarat seterusnya ialah tidak pernah memiliki kereta sendiri. Jika sebelum ini sudah pernah memiliki kereta sendiri, anda tidak layak untuk memohon skim graduan baharu yang ditawarkan oleh mana-mana bank.
Anda juga perlu mempunyai pendapatan tetap sekurang-kurangnya RM1,800 ke atas.
Sekiranya anda masih mempunyai tunggakan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), langsaikan segala tunggakan baru layak untuk memohon skim graduan baharu. Hal ini kerana, untuk memohon skim ini anda perlu bebas daripada mempunyai masalah tunggakan PTPTN.
Apakah dokumen yang diperlukan?
- Wajib menyediakan salinan kad pengenalan.
- Wajib melampirkan salinan lesen memandu, sekurang-kurangn
- ya lesen P.
- Wajib mempunyai transkrip mini atau surat tamat pengajian.
- Jika sudah menerima gaji pertama, serahkan salinan slip gaji bersama dokumen wajib yang lain.
- Jika mempunyai kad pekerja atau kad perubatan kerja, lampirkan bersama salinan kad tersebut.