Perubahan warna kuku, isyarat awal penyakit



KUKU kaki atau tangan mempunyai fungsi tersendiri dan secara umum sebagai pelindung kepada hujung jari.

Selain itu, kuku juga penting untuk memberikan lebih sensitiviti terhadap deria sentuh.

Kuku juga memberi gambaran dan petunjuk kepada tahap kesihatan seseorang, malah ia juga menunjukkan masalah yang serius termasuk penyakit jantung.

Sehubungan itu, penting setiap individu melihat perubahan pada kuku masing-masing kerana ada kemungkinan, masalah terbabit perlu dirujuk kepada doktor.

Seorang doktor mengesahkan perubahan pada keadaan kuku mungkin menandakan penyakit jantung, hipotiroidisme (keadaan di mana kelenjar tiroid menjadi kurang aktif dan pengeluaran hormon tiroid akan berkurangan mengakibatkan fungsi badan menjadi perlahan).

Justeru, masalah kesihatan lain itu juga perlu ditangani secepat mungkin.

Namun begitu, kebiasaannya perubahan pada warna atau tekstur kuku jari dan kaki tidak memberikan petanda buruk.

Sebaliknya, tanda membabitkan lekuk dan garisan boleh memberi isyarat awal mengenai kekurangan atau masalah kesihatan yang teruk termasuk penyakit jantung dan hati. 

Keadaan kuku mungkin berubah dan ia perkara biasa, contohnya lebih rapuh apabila usia meningkat.

Pakar perubatan menjelaskan, perubahan tekstur kuku juga biasanya berlaku ketika kehamilan, namun ia sepatutnya kembali normal dalam tempoh enam bulan selepas melahirkan bayi.

Bagaimanapun, seseorang itu perlu berjumpa dengan doktor jika adanya perubahan pada kuku yang tidak dapat dijelaskan antaranya membabitkan kecederaan.

Selain itu, seseorang juga perlu merujuk doktor sekiranya kulit di sekeliling kuku menjadi merah, bengkak dan sakit kerana ia menunjukkan adanya jangkitan.

7 simptom penyakit

Dr Bhavini Shah dari LloydsPharmacy Online Doctor mengenal pasti tujuh simptom berkaitan masalah kesihatan yang mungkin ditunjukkan oleh kuku.

1. Kuku berbentuk sudu kurang zat besi

Pertama, kuku berbentuk sudu yang melengkung ke dalam kerana ia menunjukkan kekurangan zat besi, anemia, atau zat besi dalam darah rendah.

Dr Bhavini berkata, gejalanya adalah termasuk keletihan, sesak nafas, kulit pucat dan sakit kepala.

Katanya, penting untuk mengenal pasti punca anemia dan kekurangan zat besi dengan doktor mungkin akan mengesyorkan ujian darah untuk memeriksa kiraan sel darah merah.

"Biasanya, gejala itu boleh dirawat dengan menggunakan tablet zat besi dan makan makanan kaya zat besi termasuk daging merah, kekacang dan buah-buahan kering seperti aprikot," katanya.

2. Kuku longgar gejala hipertiroidisme

Dr Bavini berkata, simptom kedua ialah kuku kelihatan longgar yang menggambarkan gejala hipertiroidisme di mana ia berlaku apabila kelenjar tiroid menghasilkan hormon tertentu secara berlebihan.

"Kuku longgar adalah simptom biasa hipertiroidisme dengan tanda lain termasuk kebimbangan, masalah tidur, penurunan berat badan dan keletihan," katanya.

3. Kuku rapuh masalah tiroid

Beliau berkata, simptom ketiga ialah kuku rapuh di mana ia adalah tanda biasa untuk yang mempunyai masalah tiroid tidak aktif, juga dikenali sebagai hipotiroidisme.

Katanya, ia berlaku apabila kelenjar tiroid kurang menghasilkan hormon dan amat penting untuk ia didiagnosis secepat mungkin.

"Ini biasanya dilakukan melalui ujian darah. Gejala yang disertakan antaranya penambahan berat badan, rambut menipis, otot dan sendi kaku serta kemurungan," katanya.

4. Garis merah, ungu petanda penyakit jantung

Garis merah atau ungu yang terdapat di bawah kuku pula boleh menandakan penyakit jantung dengan Dr Bhavini memaklumkan gejala lain yang menunjukkan masalah itu termasuk keletihan melampau, pergelangan kaki bengkak dan sakit di dada, perut, kaki, lengan, rahang atau di bahagian belakang.

5. Kuku putih petanda penyakit hati

Katanya, simptom kuku putih pula dengan dua pertiga lapisan kuku bertukar ke warna itu boleh menjadi petanda penyakit hati dengan gejala lain termasuk keletihan, kulit kuning dan hilang selera makan.

6. Lekuk kecil kuku petanda ekzema

"Bagi simptom yang ada lekukan kecil pada kuku, biasanya terjadi kepada mereka yang mengalami gangguan kulit seperti psoriasis, ekzema dan alopecia areata.

"Sebagai contoh, psoriasis biasanya menyebabkan tompok kering dan bersisik pada kulit, manakala ekzema menyebabkan kulit menjadi kering, gatal, retak dan sakit. Alopecia areata pula membabitkan keguguran rambut," katanya.

7. Kuku garis mendatar, gangguan sementara tumbuh kuku

Dr Bavini berkata, garis mendatar pada kuku mungkin garisan Beau yang berlaku apabila adanya gangguan sementara

semasa pertumbuhan kuku dan biasanya disebabkan oleh penyakit atau jangkitan yang teruk.

Katanya, sebahagian individu mempunyai garisan Beau selepas mereka dijangkiti COVID-19 dan rujukan kepada doktor perlu dilakukan untuk mengenalpasti tahap kesihatan pesakit.


Tiada ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Dikuasakan oleh Blogger.