Carian

Garam penyedap rasa yang berbahaya jika berlebihan

 



GARAM biasanya sudah menjadi sesuatu yang sukar untuk dipisahkan daripada hidup kita kerana ia memberikan rasa pada makanan.

Bagaimanapun, perlu diingatkan pengambilannya pada kadar berlebihan boleh mengakibatkan tubuh tidak dapat menerimanya.

Malahan, ada beberapa penyakit dikaitkan jika terlalu banyak menggunakan garam dalam makanan.

Menurut Harvard TH Chan School of Public Health, garam dikenali juga sebagai natrium klorida yang mengandungi kira-kira 40 peratus natrium dan 60 peratus klorida.

Satu kajian yang diterbitkan dalam The New England Journal of Medicine turut mendedahkan, terdapat kira-kira 1.65 juta kematian yang dikaitkan dengan penggunaan natrium yang tinggi setiap tahun.

Malah, di Amerika Syarikat sahaja, kira-kira 10 peratus daripada semua kematian yang berkaitan dengan jantung dikaitkan dengan terlalu banyak natrium.

Namun, ia tidak bermakna kita tidak boleh mengambil garam sama sekali. Setiap individu hanya disarankan mengambil garam sebanyak satu sudu teh sehari atau bersamaan dengan 5 gram garam.

Bagaimanapun, kita sering kali mengambil garam melebihi saranan yang ditetapkan lebih-lebih lagi apabila membeli makanan di luar.

Apa yang terjadi jika mengambil terlalu banyak garam?

1. Penyakit jantung

Garam boleh meningkatkan tekanan darah dan menimbulkan darah tinggi. Situasi ini boleh jadi penyebab penyakit jantung yang paling ketara. Hampir separuh kes penyakit jantung, disebabkan oleh hipertensi atau darah tinggi.

Menurut Profesor kesihatan awam di University California, San Diego, Cheryl Anderson, lebih banyak garam diambil, lebih tinggi tekanan darah kita.

2. Meningkatkan risiko strok

Darah tinggi tak terkawal boleh menyebabkan saluran darah di otak tersumbat atau pecah dan berlaku strok.

Kajian Jurnal Perubatan British juga mendapati bahawa tekanan darah tinggi mungkin pula membawa kepada risiko strok yang lebih tinggi.

3. Menyukarkan fungsi buah pinggang

Buah pinggang berfungsi menyingkirkan bahan toksik, mengawal tekanan darah dengan mengimbangi kandungan air di dalam badan dan mengawal produksi sel darah merah. Apabila mengambil garam berlebihan ia boleh menyebabkan gangguan buah pinggang dan akibatnya, meningkatkan risiko gangguan buah pinggang.

Kajian 2013 dalam Journal of the American Society of Nephrology mendapati, individu yang mempunyai penyakit buah pinggang kronik akan mengalami fungsi buah pinggang yang lebih baik dengan mengurangkan pengambilan garam.

4. Gangguan saraf

Garam memang penting untuk menjaga fungsi saraf. Namun, jika berlebihan pengambilan garam akan membawa mudarat.

Tubuh kita memerlukan keseimbangan antara sodium dengan kalium untuk menjaga fungsi saraf tetap normal. Jika kadar sodiumnya terlalu banyak, maka keseimbangan akan terganggu. Hal sama dengan fungsi saraf, yang juga akan mengalami gangguan.

5. Kanser perut

Kajian tahun 1996 yang diterbitkan dalam International Journal of Epidemiology menemukan bahawa kematian akibat kanser perut pada lelaki dan wanita berkaitan erat dengan pengambilan garam berlebihan. Selain itu, pengambilan garam yang tinggi juga dikaitkan dengan penyakit perut lainnya. - AGENSI

Cara untuk mengurangkan pengambilan garam

- Baca label makanan dan pilih produk rendah garam (sodium).

- Hadkan pengambilan makanan yang diproses.

- Elakkan menambah garam ketika makan.

- Kurangkan penggunaan garam ketika masak.

- Gunakan perisa semula jadi (bawang, halia, serai, daun limau, ketumbar

dan lain-lain) bagi meningkatkan rasa makanan.

- Cuba untuk sediakan makanan yang dimasak sendiri. Kurangkan makan di luar

dan makanan bawa pulang.

Catat Ulasan

0 Ulasan