KUSZA dan Sejarah Penubuhannya
Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) telah ditubuhkan dan diperbadankan sebagai sebuah Pusat Pengajian Tinggi Islam pada 22 Ogos 1981, melalui Enekmen Bil. 3/1981 yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Terengganu.
K.U.S.Z.A dijadikan sebuah badan berkanun dan mula beroperasi sepenuhnya sebagai badan tersebut pada bulan Jun 1982. Pada peringkat awalnya pentadbiran KUSZA diletakkan di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu.
Penubuhan KUSZA merupakan satu langkah terhadap usaha meningkatkan taraf pendidikan agama khususnya kepada rakyat Negeri Terengganu Darul Iman. Di antara matlamat utama KUSZA ialah untuk melaksanakan sistem pendidikan Islam yang lebih sistematik, melahirkan tenaga kerja di peringkat separa ikhtisas yang diperlukan oleh sektor awam dan swasta serta meningkatkan perkembangan ummah dan pembangunan masyarakat selaras dengan Islam.
Pada 27 Januari 1980, seramai 35 orang pelajar telah diambil mengikut program persijilan iaitu tingkatan empat Sastera Agama.
Kelas pertama kolej ini menumpang buat sementara di Bangunan Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin, Batu Buruk. Kursus yang ditawarkan ialah Diploma Pengajian Islam. Seramai 26 orang pelajar pelajar mengikuti kursus ini yang dikendalikan oleh sebilangan pensyarah perintis.
Pada April 1981, kolej ini telah dipindahkan dari Batu Buruk dan ditempatkan buat sementara di sebuah bangunan rumah kedai di Jalan Hiliran, Kuala Terengganu. Pengetuanya yang pertama ialah Encik Wan Shamsuddin bin Wan Mamat dan timbalannya Encik Abdul Aziz @ Ahmad bin Mohd.
Pada 17 Mac 1981, Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu telah meletakkan batu asas kampus tetap di Gong Badak, di satu kawasan seluas 350 ekar (144 hektar). Maka pada bulan Januari 1983, KUSZA telah berpindah ke kampus tetapnya di Gong Badak, 13 km dari Kuala Terengganu.
Sepuluh (10) tahun kemudian, KUSZA mempunyai bangunan dan kemudahan lengkap untuk keperluan pelajar dan kakitangan. Sehingga kini 48 blok bangunan telah pun didirikan termasuk 22 buah Asrama, 5 buah Dewan Makan, 7 buah blok Belajar, sebuah Bangunan Pentadbiran, sebuah Dewan Besar, sebuah Perpustakaan, 2 blok bangunan Teknologi Perindustrian, sebuah Dewan Kuliah, sebuah rumah pengarah, sebuah Rumah Tamu, sebuah Gimnasium, 3 buah substation, sebuah Bengkel Pembaikian dan sebuah masjid.
KUSZA terus melangkah ke hadapan. Bermula dengan lawatan daripada Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Dr. Mahadhir Mohamad ke KUSZA pada 1993 dan seterusnya oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Anwar Ibrahim pada 18 Ogos 1994. Dato' Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan bahawa KUSZA dinaikkan taraf menjadi Kolej Universiti. Beliau yang juga Presiden UIA ketika itu memberi ucapan kepada seluruh warga KUSZA bersetuju agar KUSZA bekerjasama dengan UIA untuk menawarkan beberapa program peringkat ijazah di KUSZA.
KUSZA terus menawarkan program peringkat diplomanya sebagaimana yang sedia ada.
Mulai bulan Julai 1995, program matrikulasi dengan kerjasama UIA ini dimulakan dengan seramai 124 orang pelajar yang mengambil kursus Undang-undang dan Ilmu Wahyu.
KUSZA telah dinaik taraf sebagai sebuah universiti dan dikenali sebagai Universiti Darul Iman (UDM). Pengumuman penubuhan Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 26 Mac 2005. Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) mula beroperasi pada 1 Januari 2006
UDM telah menjalani proses penjenamaan semula pada 14 Mei 2010 dan kemudiannya dikenali sebagai Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). Nama Almarhum Sultan Zainal Abidin III Muazzam Shah ibni Almarhum Sultan Ahmad Muazzam Shah II, Sultan Terengganu ke-11 diguna pakai bagi mengenang jasa Duli Yang Maha Mulia Almarhum Sultan dalam menyebarkan ilmu dan agama di negeri Terengganu.
Pada 29 November 2013, logo baru UniSZA telah diperkenalkan. UniSZA kini beroperasi dengan tiga kampus iaitu Kampus Gong Badak (Kuala Nerus) sebagai kampus induk, Kampus Perubatan (Kuala Terengganu) dan Kampus Besut serta satu pejabat satelit yang beroperasi di Putrajaya.
Kekuatan Jenama KUSZA
Sebagai lepasan KUSZA, kami berbangga dengan jenama KUSZA kerana semasa melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah, kami mendapat pengecualian dari mengambil peperiksaan MUET kerana KUSZA menggunakan bahasa pengantar Bahasa Inggeris untuk bidang pengurusan dan perniagaan selain pengecualian dari mengambil kursus Bahasa Ketiga kerana telah mengambil Bahasa Arab sebagai Bahasa Ketiga selama 6 semester di KUSZA.
KUSZA telah melahirkan ramai ilmuan hebat dan terkenal masa kini. Di antaranya ialah Dato' Ustaz Sharhan Shafie, Dato' Ustaz Badli Shah Alauddin, Ustazah Asma Harun, Ustaz Mustaffa Kamal bin Hamzah, Ustaz Tuan Asmawi Tuan Umar, Ustaz Mohammad Nidzam Abdul Kadir dan ramai lagi.
KUSZA walaupun namanya sudah tiada namun ia tetap dikenang sebagai institusi pendidikan tinggi agama yang dikenali ramai dalam dan luar negara sekitar tahun 1983 hingga 2005. Oleh itu, cadangan Kerajaan Negeri Terengganu untuk menubuhkan kembali kolej agama seperti KUSZA amatlah wajar dan sangat kami sokong.
{ 0 Comment... read them below or add one }
Catat Ulasan
Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.