Penyakit akibat cuaca panas

 


CUACA terlampau panas boleh mengganggu sistem tubuh yang diterima daripada dua sumber, iaitu haba daripada persekitaran dan proses metabolik tubuh individu.

Ketua Unit Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Irniza Rasdi, berkata persekitaran suhu atau cuaca yang terlalu panas boleh mengganggu ketidakseimbangan dan menyebabkan beberapa penyakit.

"Keadaan itu akan membuatkan individu mengalami 'heat strain' atau regangan panas dan mengakibatkan beberapa penyakit berkaitan pendedahan haba yang tinggi," katanya.

Beliau berkata, tubuh sentiasa bekerja untuk memastikan penghasilan, penerimaan haba daripada persekitaran dan proses metabolik tubuh ini adalah seimbang agar suhu badan sentiasa kekal antara 36.5 hingga 37.5 darjah Celsius.

Namun, cuaca panas melampau jika tidak ditangani dengan baik boleh menyebabkan penyakit paling berbahaya, iaitu strok haba sehingga membawa maut.

9 penyakit akibat cuaca panas

1. Gangguan tingkah laku

Pendedahan haba yang tinggi boleh gangguan emosi seseorang yang menyebabkan mudah marah, stres, tidak dapat menumpukan perhatian dan kurang fungsi kognitif (berfikir).

2. Kemurungan dan PTSD

Cuaca panas berkaitan rapat dengan peningkatan penyakit berkaitan tingkah laku yang lebih serius seperti kemurungan, kerisauan, dan gangguan tekanan pasca trauma (PTSD).

3. Ruam panas

Cuaca terlalu panas dan kelembapan yang tinggi membuatkan individu mendapat ruam panas.

Peluh dihasilkan tidak dapat meruap ke udara kerana kelembapan yang tinggi dan menyebabkan kelenjar peluh tersumbat dan mengganggu sistem perpeluhan menyebabkan keradangan.

Simptom ruam panas ini termasuk benjolan kecil atau lepuh yang melitupi bahagian tubuh, kulit kelihatan kemerah-merahan dan rasa mencucuk yang menyebabkan keadaan tidak selesa.

Pesakit boleh menyapu losyen untuk kurangkan keradangan, kegatalan, sentiasa membersihkan badan, tukar pakaian bersih dan kering.

4. Kekejangan haba

Terlalu banyak peluh terutama pada individu bekerja di bawah cuaca tersangat panas. Peluh ini menyebabkan pengurangan elektrolit penting dalam badan, iaitu natrium atau garam dan potasium yang menyebabkan kekejangan kepada otot kaki, tangan dan perut.

Pesakit perlu minum air mengandungi eletrolit seperti natrium dan potasium untuk menyeimbangkan paras elektolit dalam badan.

Mereka perlu berehat dan kurangkan bekerja di bawah cuaca panas hingga badan boleh menyesuaikan diri dengan cuaca panas. Proses penyesuaian ini dipanggil aklimatisasi.

5. Sinkop haba

Ia adalah episod pengsan (syncope). Pesakit akan merasa pening dan seperti hampir pitam yang biasanya berlaku dengan berdiri lama atau tiba-tiba naik daripada posisi duduk atau berbaring.

Sekiranya pendedahan haba terlalu lama, pesakit akan pengsan.

Faktor yang boleh menyumbang kepada sinkop haba termasuk dehidrasi dan kurangnya aklimatisasi.

Pesakit perlu duduk di tempat teduh atau lebih sejuk dan minum air secara perlahan-lahan.

6. Keletihan haba

Kesan pendedahan kepada cuaca panas sehingga menyebabkan keletihan haba. Ia berlaku apabila seseorang terdedah kepada suhu yang sangat tinggi dalam jangka masa lama dan tidak minum cukup air.

Ini menyebabkan badan kehilangan terlalu banyak air yang dipanggil dehidrasi dan pengurangan paras natrium.

Simptom yang kerap dilihat ialah letih, mual, muntah, sakit kepala, pening kepala, rasa hampir pengsan ketika cuba bangun, pucat dan nadi cepat.

Pesakit perlu segera dialihkan ke kawasan suhu lebih rendah, diberikan minum air hingga kepekatan air kencing kembali normal dan perlu berehat.

Kemudian pesakit perlu menjalani proses aklimatisasi sebelum dibenarkan bekerja seperti biasa.

7. Gejala rhabdo

Senaman atau pergerakan fizikal yang berlebihan ketika cuaca panas ditambah pula sekiranya tercedera boleh menyebabkan rhabdomyolysis (sering disebut rhabdo).

Ia adalah keadaan kesihatan yang serius boleh membawa maut atau mengakibatkan hilang upaya kekal.

Rhabdo berlaku apabila tisu otot yang rosak melepaskan protein dan elektrolitnya ke dalam darah.

Bahan ini boleh merosakkan jantung dan ginjal dan menyebabkan kecacatan kekal atau bahkan kematian.

Simptom ini adalah seperti kekejangan otot yang sangat serius, rasa sakit amat sangat, kencing berwarna gelap dan keletihan melampau.

Sekiranya terjadi, pesakit perlu diberi minum air secepat mungkin dan dibawa ke klinik untuk persampelan darah bagi tujuan diagnosis.

9. Strok haba

Strok tahap paling serius dan boleh membawa maut. Suhu badan pesakit boleh mencecah 40.28 darjah Celsius.

Simptom ketara adalah kulit pesakit berasa panas, berbintik-bintik kering, keliru, konvulsi (badan kejang dan pergerakan tidak terkawal) dan pengsan.

Keadaan ini sangat berbahaya dan perlu ditangani segera. Suhu pesakit perlu diturunkan segera seperti merendamkan pesakit di dalam air sejuk atau meletakkan pad ais di bahagian yang sensitif kepada suhu seperti leher, ketiak dan kelangkang.

Pesakit perlu berehat sehingga suhu badan kembali normal.

Dr Irniza berkata, semua penyakit berkaitan pendedahan haba ini akan menjadi lagi parah jika seseorang itu obes, mempunyai penyakit kronik seperti jantung dan mengambil alkohol.

Justeru, individu disarankan mengurangkan diri terdedah kepada cuaca panas terlalu lama, minum air mencukupi dan tidak memakai pakaian terlalu tebal.

Sumber dari Berita Harian



Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url