
Hutang lapuk dikategori sebagai jenis hutang yang tiada tambah nilai kewangan dalam kehidupan anda.
Selain daripada itu, hutang lapuk juga boleh melibatkan kos wang yang lebih untuk masa panjang. Kriteria lain hutang lapuk termasuklah:
- Beli barang yang susut nilai dari semasa ke semasa seperti kereta.
- Hutang kad kredit yang tidak berbayar
- Pinjaman faedah yang tinggi.
1. Hubungi pemberi pinjaman anda atau bank
Jika anda berhadapan kesukaran untuk menyelesaikan bayaran semula pinjaman yang telah ditetapkan, cuba hubungi pemberi pinjaman dan bank anda dengan segera. Peluang yang dibuka oleh pihak bank untuk berunding adalah kerana mereka juga mahu mengecilkan peluang pinjaman yang tidak berbayar sebelum ianya menjadi lebih rumit. Cuba untuk bekerjasama dengan pihak bank anda.
2. Jumpa Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK)
Cara lain, anda juga boleh berjumpa Agensi Kaunseling Dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia. Perkhidmatan mereka adalah percuma dan mereka akan menawarkan kaunseling juga nasihat kewangan ke atas pengurusan kewangan dan membantu individu dengan masalah hutang mereka melalui program pengurusan hutang.
Sering dapat panggilan dari Bill Collector minta anda bayar hutang? Adakah anda wajib membayarnya?
Kebanyakan dari kita pernah berhutang atau sedang berhutang. Ada hutang telco, perabot ansuran bayar, kad kredit dan pelbagai lagi jenis hutang.
Dan kebanyakan hutang-hutang ini kadang kala sudah dibuat lama dahulu, ada yang sampai 10 tahun lalu tapi hanya dituntut baru-baru ini dengan menggunakan perkhidmatan Bill Collector.
Pengguna harus tahu bahawa hutang-hutang yang sepatutnya dituntut oleh pemiutang (orang yang memberi hutang), jika tidak dituntut melebihi 6 tahun, hutang-hutang tersebut dianggap lupus dalam konteks undang-undang. Dalam bahasa mudah, anda tidak perlu lagi membayar hutang tersebut dan tiada apa-apa tindakan mahkamah boleh diambil ke atas anda.
Ini kerana undang-undang menghukum pemiutang yang leka dan cuai untuk menuntut hak mereka dalam tempoh 6 tahun. Undang-undang memberikan had masa kepada pemiutang untuk menuntut hak mereka dan tidak boleh menuntut pada bila-bila masa mengikut kehendak pemiutang.
Apabila seseorang ingin menuntut sesuatu ganti rugi dalam kes sivil, beliau harus memfailkan kes tersebut di mahkamah sivil dalam satu jangka masa yang tertentu.
Mengikut Seksyen 6(1), Akta Had Masa 1953, sesuatu tindakan yang terbit daripada kontrak dan tort haruslah dibawa ke mahkamah dalam tempoh masa enam tahun.
Selepas tamat tempoh had masa, sebarang tuntutan tidak boleh difailkan di mahkamah, kecuali, mengikut seksyen 29, di bawah Akta tersebut, ada bukti seperti fraud atau salah (mistake) yang menyebabkan pihak yang ingin menuntut tidak dapat mengenali hak tuntutannya.
Tempoh had masa enam tahun mula dikira daripada tarikh sesuatu insiden seperti hari kemalangan atau hari pengingkaran mematuhi peraturan-peraturan yang telah dipersetujui di antara kedua-dua pihak. Sebagai contoh, dalam satu kemalangan jalan raya, tarikh dan masa kemalangan jalan raya di antara dua kenderaan adalah titik permulaan had masa tuntutan oleh pihak yang ingin menuntut ganti rugi terhadap pihak yang bersalah.
Banyak beri notis palsu
Ada juga syarikat Bill Collector menggunakan teknik desakan ke atas pengguna dengan membuat panggilan telefon, sms dan mengeluarkan notis palsu untuk menyita barang-barang pengguna jika pengguna terus ingkar bayar hutang.
Notis-notis ini adalah tidak sah kerana tiada penghakiman dan tempoh untuk mengambil tindakan telah melebihi 6 tahun. Ada juga penyamaran dilakukan dengan membuat panggilan telefon mendakwa mereka dari mahkamah. Hm, mahkamah tidak call orang dan tuntut hutang ye. Banyak pula masa orang mahkamah nak buat macam tu.
Jadi jika anda terus diburu oleh penuntut-penuntut hutang yang sudah melebihi 6 tahun ini, anda mempunyai pilihan; samada bayar atau memilih untuk tidak bayar dan tiada tindakan mahkamah yang boleh dikenakan ke atas anda.
Jika anda memilih untuk bayar, sila ke syarikat Bill Collector itu sendiri dan buat bayaran kepada orang yang sah menerimanya dan dapatkan resit selepas bayaran. Jangan buat bayaran ke dalam akaun personal mana-mana orang tanpa usul periksa.
0 Ulasan
Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.